KLIK SAJA

Saturday, August 18, 2012

SUNAT DAN ADAB MENYAMBUT AIDILFITRI

Oleh: Dr Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman


 Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadan. Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah SAW menyambut Hari Raya, antaranya ialah;

 1. Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya. Imam Malik meriwayatkan: “Sesungguhnya Abdullah bin Umar akan mandi pada pagi hari Raya al-Fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya.” Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama‟ telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya.

 2. Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya ‘Eid al-Fitri dan untuk ‘Eid al-Adha makan selepas solat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak keluar pada pagi hari Raya al-Fitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR Al-Bukhari: 953]. Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (anggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ia juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” [Fath al-Bari: 2/446].

 3. Bertakbir pada hari Raya Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 185]. Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza’ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah Imam keluar (untuk menunaikan solat raya).” Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya.

 4. Takbir Hari Raya Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas‟ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik. Kata ulama, “Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan amalkan.” Diangkat suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar.

 5. Ucapan Tahniah Pada Hari Raya Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik

 6. Berpakaian baru/cantik di hari raya Daripada Jabir katanya: “Nabi SAW mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” [Sahih Ibnu Khuzaimah: 1765]. Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. Adapun untuk kaum wanita mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi SAW: Maksudnya: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian” [HR: Ahmad dan Abu Daud “Sahih”]. Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang boleh dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik.

 7. Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik melalui jalan yang lain. Daripada Jabir bin Abdillah ra katanya: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW, pada hari raya baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” [Al-Bukhari: 986] Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini; i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari kiamat nanti. Hal ini kerana bumi akan membicarakan pada hari kiamat apa yang dilakukan di atasnya daripada perkara-perkara yang baik dan jahat. ii Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam. iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SWT. iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak saudara dan menghubungkan silaturrahim.

 8. Solat Hari Raya. Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/ fardhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Mazhab Imam Abu Hanifah, pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa. Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya. a- Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak dua rakaat. Rakaat pertama ada tujuh kali takbir dan rakaat kedua ada lima kali takbir. Hukum bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi SAW. b-Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A‟la dan pada rakaat kedua membaca al-Ghasyiah berdasarkan hadis riwayat Muslim, atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim. Kedua-dua bacaan ini sahih dari Nabi SAW. c- Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas katanya: “Aku menyaksikan Rasulullah SAW menunaikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah.” d- Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: “Telah sepakat para fuqaha‟ bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat.”

 9. Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar katanya: “Adalah Rasulullah SAW keluar ke tempat solat Hari Raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan.” [Sahih Ibnu Majah “Hasan”] Kata Ibnu al-Munzir: “Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawaduk dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan.” Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh dari musalla / masjid tidak mengapa naik kenderaan.

 10. Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya. Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi SAW. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah). Daripada Umm Atiyyah katanya: “Kami disuruh oleh Nabi SAW untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha; wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasingkan daripada tempat sembahyang.” 

11. Zakat Fitrah. Nabi SAW menyuruh membayar zakat al-Fitr sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari lebih awal. Imam al-Bukhari meriwayatkan: “Adalah mereka (sahabat Nabi SAW) mengeluarkan (zakat al-Fitr) sebelum hari raya sehari atau dua hari.” Kesalahan yang dilakukan pada hari raya Pergaulan/ikhtilat yang bebas pada Hari Raya. Ramai dalam kalangan kita telah mengambil mudah akan hal ini. Apabila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah “hari kebebasan” iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). Mereka menganggap hari raya ini merupakn lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi), berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan.

 Semoga ‘Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan.

Monday, August 6, 2012

BERKENAAN POS BASIC

Berikut ialah sedikit makluman berkenaan pos basik terutamanya Pos Basik Pengurusan Personal... mungkin ada yang sudah tahu berkenaan ini...

Thursday, June 21, 2012

KAKITANGAN AWAM DAPAT BOS BARU

PERLANTIKAN DR ALI HAMSA SEBAGAI KSN DIHARAP DAPAT MANTAPKAN HUBUNGAN PEKERJA DAN KERAJAAN
Bernama
20/6/2012


Pelantikan Dr Ali Hamsa Sebagai KSN Diharap Dapat Mantapkan Hubungan Pekerja Dengan Kerajaan
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap pelantikan Datuk Seri Dr Ali Hamsa sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru dapat memantapkan lagi sektor perkhidmatan awam negara sekaligus menjayakan program transformasi kerajaan.

Setiausaha Agung Cuepacs Lok Yim Pheng berkata kongres itu juga menyambut baik pelantikan Ali
yang merupakan Ketua Pengarah, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

"Kami harap dengan pelantikan ini hubungan antara pekerja dengan kerajaan akan bertambah baik dan harmoni," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata Cuepacs berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Ali dalam tempoh terdekat.

Pelantikan Ali sebagai KSN berkuatkuasa mulai 24 Jun 2012. Beliau menggantikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 23 Jun ini.

Ali yang dilahirkan di Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Ekonomi serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Environmental Science & Economics dari Oklahoma State University, Amerika Syarikat.

Beliau mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Jan 1981 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Lok turut mengucapkan penghargaan kepada Mohd Sidek di atas segala sumbangan beliau kepada sektor awam amnya serta kakitangan kerajaan khususnya.

-- BERNAMA

Tuesday, June 19, 2012

ISRA' DAN MIKRAJ...SUATU PENGHAYATAN

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Terlebih dahulu sekalung ampun dan maaf kepada semua rakan-rakan di Malaysian Paramedics kerana agak lama tiada berita. Selamat menyambut Isra' dan Mikraj kepada semua Muslimin dan Muslimat "Real Paramedics" . Sedikit artikel kami sampaikan sebagai penghayatan kita sempena hari yang mulia ini. Jika ada sebarang kesalahan mohon diperbetulkan.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Apabila berbicara tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.

01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.

02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh.



Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud;

"Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya berlangsung pada satu malam.

Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan "asra bi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi "asra bi rohi 'abdihi lailan" yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.

Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.

Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :

"Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah. Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya". Inilah ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Sahabat yang dimuliakan,

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):

Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,

02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,

03.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),



Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.

Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :

01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.



07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.

13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T );

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah SWT : Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj:

Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa'id)

Sahabat yang dikasihi,

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat Islam)

Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha, berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.


wassalam

Tuesday, May 8, 2012

Paramedics with bright futures must not be kept in the dark

I REFER to “Group waiting on Health Ministry for discussion” (The Star, Dec 28). Assistant Medical Officers (AMOs) evolved from names such as Dressers, Hospital Assistants (HAs) and Medical Assistants (MAs).

With a Diploma Pembantu Perubatan from the Health Ministry, they assist Medical Officers in their daily activities. In specialised departments and units or areas, post basic trained AMOs are fitted in.

On the other hand, a Paramedic graduates with a Degree, Diploma or Certificate in Paramedic Science as clearly defined in their roles and responsibilities in countries such as the UK, US, Canada, Germany and Australia (reference included from Wikipedia).

I believe there are none with such a qualification within the Malaysian Civil Service. However, it won’t be long, as I have come across an advertisement by a local medical college on such a course.

If the authorities are serious about having Paramedics being a part of our healthcare delivery system, I suggest they look into the UK paramedic modules of training to start with.

The Health Ministry can start discussions with the Public Services Department (PSD) on a paramedic service scheme here with grades starting from U29 at diploma level right up U54 as Chief Paramedic of Malaysia.

Service options can be extended to existing AMOs and nurses who have served at least 10 years in an emergency setting as well as having undergone a course in Post Basic Emergency and Pre Hospital Care.

At the same time, Paramedic Sciences training centres can be set up for diploma and degree level studies.

Paramedics can then be seconded to Police and Fire Stations and Civil Defence Corp 911 Rescue centres on a 24-hour basis to be supervised by an area paramedic superintendent or district or division head.

Subsequently, an association and union of Paramedics Malaysia and a Board of Paramedics Malaysia can be set up to link with paramedics of other nations towards professional development worldwide, just as for nurses, physiotherapists etc.

I suggest the various stakeholders develop academic link with institutions of higher learning locally for AMO diploma holders to pursue a degree course. Currently many are lost as to where to move forward.

And many have studied for a degree not at all related, such as nursing, forensic science, nutrition, social science, management and have left the profession when not being able to move beyond U41 grade.

COPY FROM THE STAR

Thursday, April 12, 2012

DIRGAHAYU TUANKU




KUALA LUMPUR 11 April – Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sebaik selesai kemuncak Istiadat Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu Perang bergema di Balairong Seri dan para hadirin berdiri dan melaungkan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali, diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela, Azwan Effendy Zairakithnaini.

Serentak itu juga, tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia yang diketuai oleh Leftenan Sabri Abdullah.

Istiadat Pertabalan yang berlangsung penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.

Turut menyaksikan acara gemilang itu ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua diplomat asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.

Upacara hari ini mengandungi dua sejarah penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong V pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong XIV pada usia 84 tahun.

Menambah keunikan pertabalan kali ini ialah Perdana Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong V, Perdana Menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussain.

Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu “Belayar” oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.

Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.

Istiadat diteruskan dengan membawa masuk baki alatan kebesaran yang diketuai oleh Pemangku Datuk Maharaja Lela bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Awang Kechik Abdul Rahman membawa masuk senaskhah al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu “Palu”.

Naskhah al-Quran, yang merupakan lambang kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan kepada Seri Paduka oleh Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.

Seri Paduka mencium al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.

Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri. Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.

Seri Paduka yang menerima keris berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.

Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman

Saturday, April 7, 2012

BERITA TENTANG IJAZAH UNTUK PARAMEDIK

SURAT YANG DILAMPIRKAN ADALAH BERHUBUNG PERTANYAAN PTD TEMPAT ADMIN BERTUGAS KEPADA BAHAGIAN NAIK PANGKAT KKM...MAKA, SURAT DAN LAMPIRAN INI PERLU DIBACA BERSAMA ...SILA "CLICK" PADA LINK BERTULISAN BIRU...