KLIK SAJA

Thursday, November 15, 2012

INSENTIF KHAS LULUSAN IJAZAH, DIPLOMA TIDAK NAIK PANGKAT


 

KOTA KINABALU 12 Nov. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyediakan insentif khas kepada penjawat awam yang tidak berpeluang dinaikkan pangkat meskipun mempunyai ijazah dan diploma.Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya mencadangkan agar insentif khas sebanyak RM350 diberikan kepada pemegang ijazah dan RM200 kepada pemegang diploma.

Beliau bagaimanapun berkata, insentif berkenaan hanya layak diberikan kepada petugas yang mempunyai ijazah atau diploma yang berkaitan dengan jawatan mereka."Sekarang kita ada hampir 5,000 pekerja sektor awam yang ada ijazah atau diploma tetapi terhad untuk meningkat kepada jawatan lebih baik tertakluk kepada jawatan kosong."Jadi kita mahu walaupun tidak dinaik pangkat tetapi diberi insentif tersebut memandangkan mereka dibebankan dengan tugas berdasarkan pengalaman mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti Malaysia (GAKUM) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.Menurut Omar, pemberian insentif itu akan dapat memberikan keadilan kepada penjawat awam selain menaikkan semangat mereka untuk bekerja bersungguh-sungguh.Sementara itu, beliau berharap kerajaan menetapkan kuota ke atas pengambilan jawatan kosong sektor awam bagi memberi keadilan kepada semua penjawat awam.

"CUEPACS mencadangkan 50 peratus kuota diberikan kepada penjawat awam sedang berkhidmat manakala 50 peratus lagi kepada pemohon baharu," katanya.Omar berkata, bagi memastikan kebajikan kira-kira 45,000 pekerja kontrak, kerajaan diminta menyerap kesemua pekerja kontrak yang berkhidmat sekurang-kurang lima tahun ke jawatan tetap.Katanya, sekiranya tidak dapat dilaksanakan serentak, kontrak pekerja berkenaan perlu disambung selain pengambilan pekerja kontrak baharu tidak diteruskan lagi."Saya kesal kerana ada agensi yang menamatkan pekerja mereka dan melantik pekerja baharu sebab mereka dapat membayar gaji yang murah kepada pekerja baharu," ujarnya.

Wednesday, November 14, 2012

KISAH NELAYAN..

Alkisah seorang nelayan…

Seorang nelayan di botnya sedang menjala ikan di sungai terlihat seorang lelaki di tepi sungai yang berjalan tetiba jatuh di tepi tebing.

Nelayan itu terus mendekat botnya di tebing dan menolong lelaki tersebut. Nelayan itu menolong lelaki tersebut mengumpulkan semula buku-bukunya, baju sejuk, topi dan sebuah perakam suara. Nelayan turut membantu lelaki tersebut memungut kembali kertas-kertas yang ditiup angin.

“Nak pergi mana jalan seorang diri,” tanya nelayan tersebut.

“Nak balik rumah di sana,” kata lelaki tersebut.

“Ini dah nak malam, ana nak balik sana juga, jom naik bot ana,” tawar nelayan tersebut.

Dalam perjalanan tersebut, nelayan dan lelaki tersebut berbual mesra. Nelayan itu mengetahui nama lelaki itu ialah Ramli. Dalam perjalanan balik ke rumah, nelayan tersebut mengetahui hobi Ramli ialah menulis diari dan rencana untuk surat khabar. Ramli tinggal membujang kerana baru bercerai dengan isterinya dan anaknya pula mengikut ibunya. Setibanya di rumah Ramli, nelayan dijemput untuk minum teh dan menonton TV. Nelayan yang lapar, mencadangkan untuk makan malam dengan ikan patin yang ditangkapnya tadi.

Mereka terus berbual mesra. Rupanya Ramli sangat pandai memasak, patin tempoyaknya cukup sedap, Setelah makan malam, nelayan itu mengundurkan diri untuk pulang. Sejak itu, Ramli selalu pergi ke jeti mencari nelayan itu untuk berbual dan berkongsi pengalaman hidup. Mereka menjadi rakan karib.

Ramli bertemu jodoh lagi – dan bakal berkahwin. Ketika menghantar surat jemputan kahwin kepada nelayan… Ramli bertanya, “Ingat tak masa mula-mula kita jumpa hari itu?”

“Ingat,” jawab nelayan tersebut.

“Anta tak rasa pelik ke mengapa ana membawa buku, baju sejuk, topi dan perakam suara berjalan seorang diri di tepi sungai…” tanya Ramli.

Nelayan terdiam…

“Sebenarnya hari itu, ana ingin membunuh diri pada tengah malam dengan menerjun sungai ketika air pasang deras. Tapi malam itu, ana terjatuh dan enta tetiba muncul membantu. Masa yang dihabiskan bersama anta malam itu membuat ana terasa dunia ini masih ada harapan. Kalau ana mati hari itu, takkan ana dapat berjumpa dengan jodoh yang lebih baik ini. Jadi, sebenarnya bantuan enta hari itu, bukan sekadar membantu seorang lelaki yang terjatuh terpijak lubang, anta telah menyelamatkan nyawa ana,” kata Ramli sambil menangis.

Dapat isi tersirat? Jangan perkecilkan sebarang kebaikan dan kebajikan – belum tentu anda tahu besar mana nikmatnya.

Senyum.








dipetik dari ust Tuan Ibrahim Tuan MAn

Thursday, November 1, 2012

Kajian kenaikan gaji hanya untuk penjawat awam cecah gaji maksimum

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian kenaikan gaji daripada dua hingga lima peratus yang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini hanya melibatkan penjawat awam yang sudah mencapai gaji maksimum. 

Beliau berkata kajian ini bukan membabitkan kenaikan gaji secara keseluruhan bagi perkhidmatan awam. 
"Apa yang saya umumkan mengenai kenaikan gaji (semalam), (ada) yang disalah tafsir, sebenarnya apa yang saya maksudkan ialah kita mempunyai penjawat awam yang telah mencapai had maksimum gaji mereka. 


"Jadi kajian itu tertumpu kepada golongan yang sudah mencapai had maksimum. Tetapi semua ini akan diberikan dan dilaksanakan bergantung kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi markah yang melebihi 80 peratus," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Katanya ia juga bagi memberikan keadilan kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi yang baik dan cemerlang, dengan mencatat markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan. -- 

Mengenai tangga gaji maksimum, beliau berpendapat ada penjawat awam yang terhenti gaji dua tiga tahun tidak ada kenaikan lagi, seterusnya gaji mereka menjadi statik, sedangkan dalam semua hal perlu ada pertumbuhan. 

Ali berkata antara cadangan yang boleh dikemukakan dalam kajian berkenaan ialah golongan ini diberi kenaikan pangkat atau diberikan kenaikan gaji biasa. 
"Dan kita perlu kaji bagaimana untuk menentukan setiap tahun mereka akan dapat kenaikan gaji setimpal dengan kadar inflasi dan sebagainya. Ia mungkin dalam lingkungan dua hingga lima peratus. Kita kena buat satu formula dan untuk mereka yang di gred lebih rendah mungkin (peratus itu) akan tinggi sedikit berbanding di gred yang lebih tinggi. 

"Kajian ini akan mengambil kira jumlah penjawat awam yang terbabit, implikasi kewangan dan kadar yang diperakukan kepada kerajaan, katanya. - BERNAMA

KERAJAAN KAJI SEMULA SKIM GAJI PENJAWAT AWAM MULAI TAHUN DEPAN

Bernama
31/10/2012
MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan mengkaji semula skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan tahunan sehingga lima peratus bermula tahun depan.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian itu bagi membantu penjawat awam menangani masalah kos hidup yang semakin meningkat.
 

"Kita akan mengambil kira mungkin mengikut kategori, kalau lima peratus itu untuk kategori yang teratas terlalu tinggi dan kita akan menyelaraskan semula," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama 500 penjawat awam dan Anugerah Inovasi Sektor Awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, Rabu.
 

Beliau berkata kajian berkenaan juga akan meneliti segala aspek bagi memastikan setiap penjawat awam mendapat manfaat daripada pelaksanaan skim gaji berkenaan termasuk isu penjawat awam yang menerima tangga gaji maksimum.
 

Ali berkata pihaknya turut mengambil kira kajian yang dibuat Suruhanjaya Khas Tranformasi Perkhidmatan Awam yang akan membentangkan laporan penuh kepada kerajaan pada akhir tahun ini.
 

"Buat masa ini suruhanjaya berkenaan sedang membuat kajian menyeluruh berhubung sektor awam di negara ini, kita akan ambil isu kenaikan gaji ini jika ia ada termaktub dalam kajian itu, namun jika tidak ada isu (kenaikan gaji) dalam laporan itu, kita akan mulakan kajian mengenainya pada tahun depan," katanya.
 

-- BERNAMA
 
 
baca bersama  tajuk ini , dan ini
 

Saturday, October 27, 2012

PENGORBANAN SI "AKAR"

Alkisah seorang cucu dan pokok…

Setiap tahun, cucu Pak Ibrahim yang berusia akan melawatnya di kampung… dan di dalam dusun ada satu pokok yang ditanam bersama cucu dan Pak Ibrahim untuk kenangan bersama….

Tahun 1…

“Atuk atuk, tengok pokok ini daun lebat nampak subur… dah tinggi. Pandailah datuk tanam pokok ini…” kata cucu kepada Pak Ibrahim...

Pak Ibrahim tersenyum…

Tahun 2… 

“Atuk atuk, lihat pokok kita dah lebih besar dan tinggi, daunnya makin lebat…. Atuk memang pandai jaga pokok ini…. Bila kita dapat buahnya?” tanya cucu Pak Ibrahim …

“Tahun depan Insha-Allah,” jawab Pak Ibrahim sambil tersenyum.

Tahun 3… musim kemarau menimpa…

“Atuk atuk, pokok ini nampak layu….daun pun dah gugur banyak… tak dapatlah buah tahun ini… walaupun kemarau tapi nampak masih subur... hebatlah atuk…” tanya cucu Pak Ibrahim…

“bukan atuk tak jaga…Allah yang jaga,” jawab Pak Ibrahim dengan selamba… 

Tahun 4… pokok mula berbuah…

“Atuk, dah keluar buah. Atuk hebatlah… tahun lepas nampak nak mati, kita hidup kembali… pokok kita cantik lebat buah dan daun…” kata cucu Pak Ibrahim dengan gembira….

“Ya… tapi sayang… bukan hasil kerja atuk semuanya… atuk cuma melihat sahaja… sayang puji orang yang salah,” kata Pak Ibrahim….

Cucunya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Pak Ibrahim….

Pak Ibrahim juga mendirikan satu tangga untuk cucunya memanjat ke atas pokok dan di atasnya Pak Ibrahim mendirikan satu rumah pokok kecil untuk bersama cucunya untuk meminati buah segar yang dihasilkan…

Tahun 6… Pak Ibrahim meninggal dunia secara mengejut… sebelum cucunya kembali ke kampung. Akibat tidak tahan kesedihan, cucunya tidak lagi melawat pokok yang ditanam bersama datuknya…

Tahun 10… Cucu Pak Ibrahim melawat kembali dusun… dan melawat pokok yang ditanam bersama atuknya…

“Pokok ini masih subur, berbuah lebat walaupun atuk dah tiada. Atuk memang hebat tanam pokok…” bisik cucunya di hati…

Cucu Pak Ibrahim memanjat pokok itu dan berehat di rumah pokok mengenangkan kenangan manis bersama atuknya… Cucunya terlihat satu tulisan yang terpahat di dinding kayu rumah pokok tersebut…

Coretan di dinding:

Sayang,

Jadilah orang yang soleh dan ingatlah pada pokok ini untuk dijadikan tauladan hidup. Sayang selalu memuji atuk pandai menjaga pokok ini…. 

Sayang hanya melihat pada daun dan buah sebagai penilaian bahawa pokok itu subur, cantik tapi sayang sering terlupa bahawa yang paling kuat bekerja ialah akarnya…

Sejak kita menanam pokok ini, akar pokok ini tidak pernah berhenti bekerja mengorek tanah ke bawah mencari sumber air…. Bila musim kemarau, mereka bertahan dan terus meneruskan kerja, berkorban hidup dalam keadaan kotor, panas dan dalam supaya dahannya yang dapat berbuah dan tuannya mendapat pujian.

Akar tidak pernah meminta apa-apa ganjaran untuk dinaikkan pangkat menjadi daun, buah, rimbun dan mahupun batang yang boleh hidup dalam keadaan bersih bermandikan air hujan sekali-sekala dan tidur di waktu malam. Akar berkerja siang-malam memastikan pokoknya subur dan tuannya dipuji kerana pandai menjaga pokok….

Pengorbanan yang dilakukan akar agar satu sistem pokok dapat berfungsi dengan baik adalah sangat murni…

Atuk cuma nak bagitahu yang menjaga pokok ini ialah akarnya, bukan atuk.

Bila sayang dewasa kelak, walaupun atuk sudah tiada, ingatlah memilih menjadi akar pokok di mana-mana…

Berkorban supaya semua orang di sekeliling kita mendapat manfaat daripada usaha kita…

Inilah pengajaran daripada pokok ini yang atuk ingin sayang hayati. 

Atuk tidak memberitahu lebih awal kerana sayang masih kecil… tahun ini apabila sayang balik, inilah hadiah atuk untuk sayang supaya setiap kali sayang melawat pokok ini, sayang akan mengingatkan diri untuk menjadi seperti akar pokok…

Salam sayang daripada atuk….

Atuk

Coretan di dinding rumah pokok itu ditulis sebelum Pak Ibrahim meninggal dunia.

Selepas terbaca coretan ini, cucu Pak Ibrahim menangis tersebak-sebak akhirnya faham apa yang dimaksudkan atuknya apabila berkata, ““Ya… tapi sayang… bukan hasil kerja atuk semuanya… atuk cuma melihat sahaja… sayang puji orang yang salah.”

“Atuk memang hebat….” Bisik cucunya di hati….

Diharap coretan ini dapat sedikit sebanyak memberi pemahaman kepada erti ‘pengorbanan’ dalam hidup masing-masing…

Senyum….

NUKILAN UST TUAN IBRAHIM TUAN MAN :PESURUHJAYA PAS NEGERI PAHANG

Thursday, October 25, 2012

AIDILADHA :FATHILAT, ISU DAN HUKUM

KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..
Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi SAW :
"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).
Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari (malam-malam) yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).
Majoriti ulama menyatakan malam sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).
Perlukan difahami di dalam lafaz bahasa arab, malam juga membawa maksud siang dalam konteks tertentu, demikian juga sebaliknya. Malah Imam Ibn Abbas sendiri menafsirkan perkataan malam itu dengan katanya
وعن ابن عباس أيضا أنه النهار كله ، وعبر عنه بالفجر ; لأنه أوله
Ertinya: dari Ibn Abbas juga beliau berkata : itu termasuk siang seluruhnya, dan itu jelas dari perkataan fajar yang dimulakan, dan siang terlebih dahulu. (Tafsir Al-Qurtubi)
Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :
"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA
Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب
Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
Sebuah hadis menyebut :
ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم
Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )
POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.[1]
Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-
من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )
Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.
Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.
QURBAN DENGAN BAYAR SEDEQAH DUIT TANPA WAKIL SEMBELIHAN
TIDAK DIBENARKAN juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha.
Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]
Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.
Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)
KONGSI LEMBU
Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]
Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.
Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها
Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"
MEMATAHKAN TULANG DAN TANDUK BINATANG QURBAN
Majoriti ulama mengharuskannya mankala tegahan untuk mematahkan tulang hanya di dalam hal aqiqah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi
السنة شاتان مكافئتان عن الغلام وعن الجارية شاة, تطبخ جدولا, لا يكسر لها عظم
Ertinya : Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan TIADA dipecahkan tulangnya. ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan Qurban.
BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN
Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.
Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.
QURBAN DI LUAR KAWASAN
  • Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling.
  • Namun, diHARUSKAN mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.
  • Pun begitu, ulama Mazhab Shafi’e TIDAK MEMBENARKAN dipindah keluar kawasan jika di dalam masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar dari udhiyyah. bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan qurban itu sudah menyebabkan kita terluput dari melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah TIDAK PERNAH mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain. Malah sewaktu hari raya Qurban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan dari ibadah Qurban kecuali hanya seolah menyedeqahkan wang sahaja, sepatuttnya Qurban MELEBIHI DARI hanya sekadar sedeqah wang dan makanan, ia adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.
GABUNG QURBAN DAN AQIQAH
  • Mazhab Syafi’e, Maliki & Pandangan Ahmad : Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Qurban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala aqiqah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie :
وَظَاهِرُ كَلَامِ َالْأَصْحَابِ أَنَّهُ لَوْ نَوَى بِشَاةٍ الْأُضْحِيَّةَ وَالْعَقِيقَةَ لَمْ تَحْصُلْ وَاحِدَةٌ مِنْهُمَا ، وَهُوَ ظَاهِرٌ ; لِأَنَّ كُلًّا مِنْهُمَا سُنَّةٌ مَقْصُودَةٌ
Ertinya: Yang jelas dari perkataan ulama mazhab, iaitu jika diniatkan seekor kambing untuk qurban dan aqiqah sekaligus, TIADA DIPEROLEHI SALAH SATU ANTARA KEDUANYA, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.
  • Pun begitu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, Alhasan Basri, Ibn Sirin & Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait : Harus di gabung semua dengan niat Qurban, atau sebahagian qurban dan sebahagian aqiqah.
  • Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.
PEMBAHAGIAN DAGING
Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,
1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
Ia berdasarkan firman Allah SWT :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)
Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]
UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH DAN LAPAH SERTA JUAL DAGING QURBAN
Bagaimanapun DILARANG untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Ini berdasarkan sebuah hadis
وأمرني أن لا أعطي الجازر شيئا- البخاري
Ertinya : Rasulullah mengarahkan aku agar TIDAK memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun. ( Riwayat Al-Bukhari)
Pun begitu, boleh diberikan daging qurban sebagaimana orang lain.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.
Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]
DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.
MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR
Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]
Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.
BERQURBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG
Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.
Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.
Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.
Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.
Ia amat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.
Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘TERKORBAN', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.
SEMBELIH QURBAN GUNA AYAM
  • Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam Al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu.
  • Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan Qurban dari mereka, namun jika mereka ingin sembelih ayam sebagai ganti, ia hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata nah, inilah qurban Ibn Abbas, iaitu secara majaz.

QURBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?
Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?
Jawab ringkas saya:
"tidak boleh !"
Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.
Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.
Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi individu.
BINATANG YANG DIKONGSI
a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau
Dalilnya dari hadis :
(شرك رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته بين المسلمين في البقرة سبعة ( رواه أحمد. وهو قول أكثر أهل العلم
Ertinya: Rasulullah berkongsi sewaktu Hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian. (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama) : Kambing, kibash dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengHARUSkannya.
KONGSI PAHALA QURBAN

a) Ketua keluarga diHARUSkan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi saw.
b) Namun untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, ia tidak dilakukan oleh shabat nabi. Hanya Nabi sahaja yang berqurban dan menyatakan "ini adalah untuk ummatku yang tidak berqurban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih:
وقال: بسم الله، اللهم تقبل من محمد وآل محمد، ومن أمته
Ertinya: Nabi berkata : Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah dari Muhammad dan keluarga Muhammad dan ummatnya.

SIAPA PATUT MULAKAN QURBAN?
Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunnah Nabi s.a.w berdasarkan hadith :
وقال ابْن عُمَرَ: إن النَّبِىّ، عليه السَّلام، كَانَ يَنْحَرُ وَيَذْبَحُ بِالْمُصَلَّى
Ertinya: Berkata Ibn Umar r.a ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
قال مالك: إنما يذبح الإمام فى المصلى لئلا يذبح أحد قبله
Ertinya: Berkata Imam Malik : Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya

APAKAH HAJI AKBAR ?
Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).
Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab:
"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)
Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.
Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".
Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).
Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam
Sekian
 

[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197
[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436
[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313
[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200
[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225
[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201
[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas

COPIED FROM UST ZAHARUDDIN

Wednesday, October 17, 2012

Amaran kerajaan: Pengambilan antibiotik meningkat, tambah risiko



  PUTRAJAYA - Penggunaan antibiotik dalam kalangan masyarakat di negara ini semakin meningkat dan ini perlu ditangani bagi mengawal pertambahan kes mangli antibiotik atau 'Antimicrobial Resistance' (AMR).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, situasi itu diburukkan dengan sikap sesetengah pesakit yang meminta dipreskribkan antibiotik kerana sudah terbiasa.

"Apabila mengalami demam mereka sentiasa minta diberi antibiotik sedangkan jenis demam tidak sama... biar doktor yang diagnos kerana mereka lebih tahu," kata Liow kepada pemberita selepas melancarkan kempen mengekang AMR peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, kajian juga menunjukkan jumlah antibiotik yang tinggi dipreskribkan oleh pusat untuk rawatan pesakit luar.

"Sesetengahnya tidak perlu kerana banyak jangkitan dalam kes pesakit luar disebabkan virus dan antibiotik tidak berkesan terhadap virus," katanya.

Beliau turut menasihatkan farmasi agar tidak menyumbang kepada masalah itu memandangkan ada pesakit yang lebih suka membeli sendiri antibiotik tanpa mendapatkan preskripsi doktor.

Mengenai kempen itu yang bertema "Combat Antmicrobial Resistance", Tiong Lai berkata, kempen dibahagikan kepada peringkat kebangsaan dan negeri, membabitkan sektor kerajaan dan swasta.

Objektif kempen ialah untuk meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai dan pengamal perubatan mengenai penggunaan antibiotik yang berhemat, katanya. - Bernama