KLIK SAJA

Saturday, May 16, 2015

IJAZAH SARJANA MUDA SAINS PARAMEDIK

Salam bahagia diucapkan kepada pembaca blog ini...
Beberapa perkabaran gembira berkenaan ijazah ini telah diperolehi baru-baru ini...
Lebih manis, perkabaran diperolehi semasa Konferens Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan baru-baru ini di Melaka...

Mungkin menghadirkan sinar yang lebih gemilang kepada para Penolong Pegawai Perubatan khasnya yang selama ini gigih melaksanakan tugas-tugas di bidang paramedicine...
Mereka yang berminat, boleh menghubungi admin untuk pertanyaan lanjut berkenaan ini...
Ada tawaran menarik untuk kita...
Pengambilan pada September ini...jangan lepaskan peluang terbaik ini...
info selanjutnya berkenaan ijazah ini boleh diperolehi di sini ...

Thursday, March 12, 2015

Perkhidmatan penjagaan pra-hospital diperluas

Skop Pra-Hospital, yang berperanan melakukan khidmat rawatan terhadap pesakit sebelum dibawa ke hospital, akan diperluaskan dalam aspek bidang tugas dan bentuk penyampaiannya, kata Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam (gambar, kanan).
Beliau berkata ini antara perkara yang dikenalpasti dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan dilihat dapat memberikan mutu perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi kepada rakyat sekiranya cadangan tersebut diluluskan.
"Jika diluluskan, perkhidmatan Pra-Hospital akan mempunyai unit tersendiri dengan segala kemudahan termasuk ambulans berbanding kini diletakkan di bawah tanggungjawab unit kecemasan hospital," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan 2015 di Kuala Lumpur, semalam.
Dr Subramaniam berkata kementerian juga berhasrat mewujudkan lebih banyak Kolej Pembantu Perubatan di seluruh negara dalam RMK-11 bagi menambah bilangan pembantu perubatan.
Ketika ini, terdapat 16,879 pembantu perubatan di seluruh negara.
"Kita hanya mempunyai enam kolej Pembantu Perubatan. Kita mengalami kekurangan pembantu perubatan khususnya di kawasan pendalaman Sabah dan Sarawak, yang sangat bergantung kepada mereka," katanya.
Mengenai perkembangan lain, Dr Subramaniam menjelaskan kemasukan pekerja asing yang tidak berdaftar terutamanya di Sabah dan Sarawak, merupakan antara punca peningkatan kes penyakit tuberkulosis (tibi) di negara ini sejak 2013.
Berdasarkan statistik, katanya, seramai 24,071 orang didapati menghidap penyakit bawaan udara itu pada tahun 2013 dan seramai 24,711 pada tahun lalu.
"Walaupun jumlah ini meningkat sejak dua tahun lalu namun ia masih terkawal. Terdapat banyak punca seseorang boleh dijangkiti penyakit bawaan udara itu dan salah satu berpunca daripada warga asing. Mungkin salah seorang adalah pembawa penyakit itu.
"Bagi warga asing yang ingin bekerja secara sah di negara ini, kita boleh mengenalpasti mereka yang mempunyai penyakit tibi melalui saringan kesihatan," katanya.
Justeru, Dr Subramaniam berkata beliau  mengarahkan supaya hospital dan klinik kesihatan untuk meningkatkan pemeriksaan terhadap penyakit ini termasuk dalam kalangan warga asing yang bekerja di negara ini sama ada secara sah atau tidak bagi mencegah penularan penyakit berbahaya itu.
"Kementerian juga  menambah peralatan antaranya mikroskop bagi membantu petugas kesihatan di semua klinik kesihatan terutamanya di luar bandar bagi melakukan pemeriksaan untuk mendapatkan keputusan yang cepat dan tepat," katanya. – Bernama, 11 Mac, 2015.