KLIK SAJA

Tuesday, May 21, 2013

Dr Subramaniam usaha tingkat kesedaran pencegahan awal


KUALA LUMPUR –
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam mahu menumpukan kepada usaha meningkatkan kesedaran orang ramai akan pentingnya pencegahan awal yang dapat mengelakkan permasalahan lebih serius pada masa depan.
Beliau berkata, pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang pada masa ini memperuntukkan RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun bagi kesihatan rakyat.
“Saya berjanji akan berusaha mempertingkatkan lagi taraf kesihatan negara khusunya dalam akses dan penyampaian kepada rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang mempunyai tahap kesedaran rendah terhadap penjagaan kesihatan,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.
Katanya, menurut satu kajian, enam daripada 20 rakyat negara ini mengalami masalah kegemukan dan tiga daripada 20 orang pula mengalami masalah obesiti iaitu berat badan berlebihan.
Pada masa yang sama, Dr Subramaniam berkata, beliau akan meneruskan perhubungan baik dan sihat dengan golongan profesional kesihatan bagi meningkatkan taraf kesihatan Malaysia di arena antarabangsa.
Menurutnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang memberi kemudahan terbaik dari segi kesihatan kepada rakyatnya.
Dr Subramaniam juga berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan keyakinan kepada beliau untuk meneraju Kementerian Kesihatan.
“Sebagai seorang doktor perubatan yang bertugas dalam bidang perubatan selama 26 tahun, saya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perubatan dan isu-isu berkaitan dengannya,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment