KLIK SAJA

Sunday, May 11, 2014

INSURANS RAWATAN DAN KESIHATAN SEMAKIN DIPERLUKAN

Pada masa sekarang, permintaan untuk rawatan perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia adalah sangat tinggi. Ini adalah kerana semakin ramai orang menghidapi penyakit yang dikaitkan dengan tekanan pekerjaan dan juga dengan taraf hidup yang lebih baik. Pada masa yang sama, kemajuan dalam bidang perubatan juga membolehkan orang ramai menikmati jangka hayat yang lebih panjang. 

Terdapat dua jenis program perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk rakyat Malaysia sekarang ini - satu adalah di bawah pengelolaan Kumpulan Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) dan yang satu lagi adalah polisi insurans rawatan persendirian. 

Pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan sebahagian daripada carumannya untuk perbelanjaan perubatan bagi penyakit kritikal. Bagi mereka yang bukan merupakan pencarum KWSP pula, mereka boleh membeli polisi insurans rawatan persendirian yang mungkin termasuk pelan penghospitalan. 

Beberapa organisasi pernah menyeru supaya satu skim perkhidmatan penjagaan kesihatan kebangsaan yang mengutamakan hak kesaksamaan dan keadilan dilaksanakan. Hak kesaksamaan merujuk kepada kemampuan untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan hak keadilan adalah mengenai peluang bagi setiap orang untuk mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik. 

Malaysia masih belum mencapai tahap seperti negara maju yang mempunyai skim kesihatan insurans kebangsaan untuk rakyatnya. Namun, sudah terdapat beberapa cadangan untuk melaksanakan skim seperti itu. Kebanyakan daripada cadangan tersebut bermula dengan satu skim pembiayaan. 

Perkhidmatan 

Satu kajiselidik mengenai skim perkhidmatan penjagaan kesihatan yang dilaksanakan di negara lain menunjukkan bahawa skim tersebut biasanya dibiayai oleh empat sumber utama iaitu melalui cukai langsung, insurans sosial wajib, insurans kesihatan persendirian dan skim yang dibiayai oleh individu itu sendiri. Kebanyakan skim pembiayaan merupakan kombinasi keempat-empat sumber tersebut. 

Rancangan Malaysia Ketujuh telah mengesyorkan penubuhan Lembaga Pembiayaan Kesihatan Kebangsaan sebagai badan tunggal untuk membiayai skim penjagaan kesihatan kebangsaan. Namun sehingga kini, rancangan tersebut masih belum terlaksana. 

Terdapat juga beberapa cadangan yang mengesyorkan bahawa setiap orang membayar sejumlah premium kepada lembaga pembiayaan. Jumlah ini haruslah sama bagi setiap individu tanpa mengira umur, jantina, bangsa atau keadaan kesihatannya. Ini adalah untuk memastikan yang prinsip asas hak saksama itu terpelihara. 

Ianya juga adalah untuk memastikan bahawa mereka yang miskin dan menghidapi penyakit serius tidak terbeban dengan tanggungjawab kewangan yang berat dan mereka yang berisiko tinggi turut dilindungi. 

Jenis perlindungan ini dirujuk oleh sesetengah pihak sebagai insurans yang dinilai mengikut kadar komuniti. Prinsip ini adalah berbeza daripada konsep insurans yang dinilai mengikut kadar risiko. Mereka yang memerlukan perlindungan tambahan boleh mendapatkan insurans rawatan persendirian jika mereka mampu. 

Pembiayaan kos penjagaan kesihatan bukan sahaja merupakan tanggungjawab seseorang individu tetapi juga pihak majikan dan kerajaan. Seperti skim KWSP, kedua-dua pihak pekerja dan majikan boleh mencarum beberapa peratus tertentu daripada gaji kepada skim pembiayaan penjagaan kesihatan. 

Bagi individu yang tidak bekerja dan terlalu miskin serta tidak berkemampuan untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, pihak kerajaan pula boleh memberi peruntukan tambahan yang dikumpul daripada cukai langsung 

Penjagaan 

Skim penjagaan kebangsaan bukan sahaja merangkumi aspek menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada semua lapisan masyarakat tetapi juga untuk memastikan yang kos pembiayaannya adalah setimpal bagi semua. 

Satu lagi aspek yang memerlukan pertimbangan serius untuk menjadikan skim penjagaan kesihatan kebangsaan lebih efektif adalah melalui penggabungan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang sedia ada dengan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam. 

Kedua-dua sektor ini harus saling melengkapi dan bukan bersaing antara satu sama lain kerana pada dasarnya perkhidmatan yang diberikan adalah serupa, begitu juga dengan sasaran pelanggannya. 

Dengan mengintegrasikan kedua-dua sektor ini, ia akan lebih memanfaatkan orang ramai. Perkhidmatan yang diberikan juga boleh diseragamkan. 

Buat masa sekarang kerjasama di antara dua sektor ini sudah wujud. Bagaimanapun, integrasi yang lebih luas akan lebih memanfaatkan orang ramai. 

Sistem penjagaan kesihatan di Malaysia pada masa sekarang adalah sangat kukuh. Ia telah dibina di atas landasan yang kuat dan mempunyai rangka yang fleksibel dan boleh diubahsuaikan mengikut keadaan semasa. Taraf kesihatan di negara ini juga setanding dengan negara maju walaupun terdapat banyak kelemahan yang boleh diperbaiki mengikut masa. 

Untuk melaksanakan program penjagaan kesihatan kebangsaan, Malaysia tidak perlu melalui setiap peringkat proses pembelajaran. Ia boleh belajar daripada pengalaman negara lain dan mengorak langkah ke hadapan dengan lebih pantas. Tambahan pula, di Malaysia sudah terdapat perubatan digital iaitu "teleperubatan" dan sistem komputer dalam talian bagi sesetengah perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital. 

* Rencana ini disediakan dengan kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM). Rencana yang telah disiarkan boleh didapati melalui laman web LIAM www.liam.org.my.

No comments:

Post a Comment