KLIK SAJA

Thursday, November 1, 2012

Kajian kenaikan gaji hanya untuk penjawat awam cecah gaji maksimum

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata kajian kenaikan gaji daripada dua hingga lima peratus yang sedang dilaksanakan kerajaan pada masa ini hanya melibatkan penjawat awam yang sudah mencapai gaji maksimum. 

Beliau berkata kajian ini bukan membabitkan kenaikan gaji secara keseluruhan bagi perkhidmatan awam. 
"Apa yang saya umumkan mengenai kenaikan gaji (semalam), (ada) yang disalah tafsir, sebenarnya apa yang saya maksudkan ialah kita mempunyai penjawat awam yang telah mencapai had maksimum gaji mereka. 


"Jadi kajian itu tertumpu kepada golongan yang sudah mencapai had maksimum. Tetapi semua ini akan diberikan dan dilaksanakan bergantung kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi markah yang melebihi 80 peratus," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Katanya ia juga bagi memberikan keadilan kepada penjawat awam yang mempunyai prestasi yang baik dan cemerlang, dengan mencatat markah 80 peratus ke atas dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) tetapi sudah mencapai gaji maksimum dan tidak memperoleh kenaikan pangkat kerana tiada kekosongan. -- 

Mengenai tangga gaji maksimum, beliau berpendapat ada penjawat awam yang terhenti gaji dua tiga tahun tidak ada kenaikan lagi, seterusnya gaji mereka menjadi statik, sedangkan dalam semua hal perlu ada pertumbuhan. 

Ali berkata antara cadangan yang boleh dikemukakan dalam kajian berkenaan ialah golongan ini diberi kenaikan pangkat atau diberikan kenaikan gaji biasa. 
"Dan kita perlu kaji bagaimana untuk menentukan setiap tahun mereka akan dapat kenaikan gaji setimpal dengan kadar inflasi dan sebagainya. Ia mungkin dalam lingkungan dua hingga lima peratus. Kita kena buat satu formula dan untuk mereka yang di gred lebih rendah mungkin (peratus itu) akan tinggi sedikit berbanding di gred yang lebih tinggi. 

"Kajian ini akan mengambil kira jumlah penjawat awam yang terbabit, implikasi kewangan dan kadar yang diperakukan kepada kerajaan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment